Kematian suami beri kesan mendalam - Utusan Malaysia

Kematian suami beri kesan mendalam

TARMIZI Mukhtar (kiri) diiringi Roziah Abdul Wahid (dua dari kanan) menyampaikan manfaat faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada Aziarani Mohamed Udin, 38, di rumahnya di Taman Temerloh Jaya, Temerloh, Pahang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kematian suami secara mengejut akibat terkena renjatan elektrik memberi kesan mendalam kepada seorang suri rumah dan tiga anaknya yang masih tidak dapat melupakan kejadian itu.

Dua anaknya sehingga kini masih teringat dan termimpikan bapa mereka yang meninggal dunia dalam kejadian pada 5 Januari lalu.

Mangsa, Isyraf Muhammad, 41, maut akibat terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang besi ketika mengemas barang di rumah ibunya yang ditenggelami air di Kampung Paya Kechik, di sini.

Kini, suri rumah berkenaan, Aziarani Mohamed Udin, 38, perlu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menyara tiga anak perempuan yang berusia 11, sembilan dan empat tahun.

Kerunsingan Aziarani sedikit terubat apabila menerima manfaat Faedah Orang Tanggungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dibayar secara bulanan sepanjang hayat, manakala anaknya menerimanya sehingga berusia 21 tahun atau selepas tamat ijazah pertama.

Jumlah keseluruhan manfaat berbentuk pencen yang diterima ialah RM2,567.50 sebulan.

Aziarani berkata, sumba­ngan Perkeso susulan kematian suaminya yang terkena renjatan elektrik itu cukup bermakna dan akan digunakan untuk anak-anak khususnya keperluan pembelajaran.

“Saya reda dengan takdir Ilahi tetapi sehingga hari ini masih teringat kejadian apatah lagi tiga jam sebelum itu, saya menyatakan kepadanya apa-apa terjadi saya tidak mahu dia pergi terlebih dahulu. Namun Allah SWT lebih sayangkannya.

“Saya berterima kasih kepada Perkeso atas sumbangan ini yang mana wang ini akan disimpan dan digunakan untuk ke­perluan anak-anak khususnya pembelajaran,” katanya selepas menerima kunjungan daripada Pengarah Perkeso negeri, Tarmizi Mukhtar di Taman Temerloh Jaya di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengurus Perkeso Temerloh, Roziah Abdul Wahid.

Menurut Aziarani, berdasarkan siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Tenaga, renjatan elektrik berkenaan berpunca daripada wayar elektrik yang ‘luka’ di atas bumbung rumah.

“Semasa kejadian suami saya mahu mengangkat kerusi plastik di luar dekat garaj rumah sebelum dia tergelincir dan terpegang tiang besi garaj sete­rusnya terkena renjatan.

“Berdasarkan kepada maklumat daripada Suruhanjaya Tenaga, hampir kesemua kawasan garaj mempunyai aliran elektrik,” ujarnya.

Sementara itu, Tarmizi memberitahu, selain Faedah Orang Tanggungan, keluarga mangsa turut menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 yang telah dibayar kepada keluarga mangsa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya