KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Janna Nick tidak terasa dengan kecaman dan serangan warganet di Twitter yang tidak bersetuju dengan pendapatnya terhadap industri filem dan drama tempatan.
Janna berkata, setiap orang tidak kira sesiapa mempunyai hak untuk bersuara dan dia tidak berkecil hati sekiranya ada pihak yang tidak terbuka untuk menerima pandangan peribadinya.
“Mana ada merentan. Kecil hati pun tidak. Saya hanya menyuarakan pendapat peribadi impak filem terhadap masyarakat dan kenapa kita memerlukan beberapa garis panduan untuk filem serta drama.
“Mungkin mereka tidak faham dan terus menyerang saya. Mereka tidak faham atau mungkin tak boleh terima dengan apa yang saya cuba sampaikan. Tetapi itu lumrah. Bukan semua boleh terima kan.
“Kita tidak boleh nafikan industri filem atau drama kita memerlukan garis panduan tertentu. Tetapi sekali lagi,, itu adalah pendapat peribadi saya dan terpulang jika ada pihak yang tidak setuju,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nama pelakon popular yang juga pengacara itu sohor kini malam tadi selepas ciapannya di Twitter mendapat perhatian sehingga ramai yang mengecam dan mengkritik pandangannya.
Malah tindakan Janna yang membalas ciapan seorang pengguna Twitter dengan perkataan ‘Loser” menimbulkan kemarahan segelintir warganet yang mula mempertikai kredibiliti pelakon popular itu.
Sementara itu, Janna berkata, ramai orang salah faham berhubung ciapan ‘Loser’ yang sebenarnya merujuk kepada tindakan individu tersebut memadam pandangan balas terhadap ciapannya.
“Dia yang padam ciapan asalnya dan warganet nampak seolah-olah saya mengakhiri perdebatan itu dengan ‘Loser’. Jadi ramai yang mula memperbsar isu tersebut dan menyalahkan saya,” katanya.