Kebenaran beroperasi legakan industri perkayuan - Utusan Malaysia

Kebenaran beroperasi legakan industri perkayuan

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan membenarkan sektor perhutanan dan rantaian melibatkan pembalakan beroperasi seperti biasa memberi kelegaan kepada industri perkayuan
terutama sektor perabot di seluruh negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sektor perabot dianggarkan menggunakan 85 peratus bahan mentah tempatan untuk menghasilkan produk itu.

“Ia turut memberi manfaat kepada mangsa-mangsa banjir bagi memperoleh bekalan perabot mereka yang musnah akibat bencana berkenaan baru-baru ini.

“Kebenaran ini juga membolehkan sektor perkayuan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Khairuddin, memandangkan sektor perhutanan dan pembalakan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, kementerian merakamkan ucapan penghargaan atas kerjasama untuk memproses kebenaran beroperasi sektor tersebut.

Katanya, ini memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi kepada sektor perkayuan di peringkat pemprosesan serta penghasilan produk primer dan hiliran.

Bagaimanapun, kata beliau, perlu diingatkan bahawa semua pihak terbabit mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan kebenaran itu ditarik balik.

“Selain itu, pihak industri perlu memastikan segala peraturan dan undang-undang Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipenuhi.

“Ia melibatkan penyediaan kemudahan kediaman bagi pekerja supaya dapat menyokong usaha kerajaan mengurangkan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap sektor perkayuan dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara walaupun dalam situasi yang sukar ketika ini demi kemakmuran pembangunan negara.

Beliau menjelaskan, perdagangan sektor perkayuan bagi tempoh Januari hingga November tahun lalu masih menunjukkan prestasi yang baik dengan nilai eksport berjumlah RM19.8 bilion meskipun berhadapan dengan pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya