PELABUHAN KLANG: Cubaan menyeludup kayu cendana merah menggunakan sebuah kontena tumpas apabila barang dagangan bernilai RM6.3 juta itu dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Utara, Selasa lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu, kayu seberat 11 tan metrik berkenaan dirampas dalam sebuah kontena dipercayai dari Asia Tenggara oleh pasukan daripada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, hasil pemeriksaan dalam kontena bersaiz 20 kaki itu menemukan kayu cendana merah yang diikrar sebagai peralatan perumahan dan perkakas tangan.
“Kayu cendana merah atau nama saintifiknya ‘Pterocarpus santalinus’ diklasifikasikan sebagai dagangan terancam di bawah Akta 686, Akta Perdagangan Antarabangsa mengenai spesies terancam 2008.
“Buat masa ini, kita mengenal pasti ejen perkapalan yang terlibat berusia 30-an dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan, kebiasannya kayu cendana merah itu digunakan untuk pembuatan perabot dan bahan perubatan tradisional di negara ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan cubaan mengelak daripada duti kastam serta mengelak larangan import boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 135 (1)(a) akta sama.
“Sekiranya disabit bersalah, boleh dikenakan denda RM100,00 atau 10 kali nilai barangan atau dipenjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan lain, Abdul Latif berkata, pihaknya merampas 21,600 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM613,440 termasuk cukai di sebuah kontena dua hari kemudian di lokasi sama.
Menurutnya, kesemua minuman keras itu dikesan kira-kira pukul 10.30 pagi dan diletakkan dalam sebuah kontena bersaiz 40 kaki.
“Semua minuman keras yang ditemukan ini belum lulus kastam dan kita kini sedang giat mengesan suspek yang dikenal pasti bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam dan Akta Eksais 1976,” katanya. – UTUSAN ONLINE