JOHOR BAHRU: Tiga lagi penolong pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan sindiket kartel daging sejuk beku import yang didedahkan Disember tahun lalu.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga orang kena tuduh (OKT) itu dibuat oleh Pendaftar Mahkamah, Nur Fathiah Mohd. Fedzir.
Difahamkan, mereka yang berusia 40 hingga 55 tahun itu masing-masing bertugas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah; Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru dan di Pejabat Maqis Muar.
Mereka ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini pada pukul 7 malam, semalam selepas dipanggil memberi keterangan.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Aliasmengesahkan tangkapan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 atas tuduhan menerima rasuah.
Tindakan reman terbaharu ini menyaksikan seramai lima kakitangan Maqis Johor disiasat membabitkan sindiket kartel daging.
Pada 2 Disember tahun lalu, Maqis mendedahkan kegiatan kartel daging yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.
Tindakan pertama melibatkan pegawai kerajaan dibuat pada 7 Januari apabila dua pegawai Maqis Johor direman di Mahkamah Johor Bahru bagi membantu siasatan melibatkan kegiatan jenayah sama.
Tertuduh yang berusia 27 dan 31 tahun itu disyaki menerima rasuah bagi aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.
Sebelum itu, pada 4 Januari, empat individu melibatkan tiga pengarah syarikat dan seorang kerani direman bersabit skandal sama sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman tamat. – UTUSAN