MARAN: Hujan lebat yang berterusan sejak pukul 3 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kampung Jara dan Kampung Sungai Jerik, di sini dilanda banjir kilat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Jara, Hassan Khalil berkata, banjir kilat mula berlaku selepas Subuh kira-kira pukul 6.15 pagi.
Katanya, ia menyebabkan beberapa rumah di kawasan rendah sekitarnya dan Kampung Sungai Jerik dinaiki air lebih dua meter.
“Sehingga petang ini, tiada keluarga yang berpindah tetapi dijangka empat atau lima keluarga dipindahkan ke pusat penempatan sementara banjir di Balai Raya Kampung Jara.
“Pihak berkuasa dan JKKK menasihatkan mereka berpindah kerana kita bimbang sekiranya hujan lebat berterusan menyebabkan banjir lebih teruk sepertimana tahun 2004,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Hassan, kawasan yang teruk dilanda banjir kilat ialah di hadapan Kuil Sri Marathandavar yang turut menenggelamkan beberapa buah kenderaan di situ
Tambahnya, kawasan di situ membabitkan kira-kira 1,000 penduduk yang dari Kampung Jara, Perkampungan Orang Asli Sungai Jempol dan Kampung Sungai Jerik atau Tong Kiat.
Sementara itu, bekas Setiausaha Kuil Sri Marathandavar, Datuk G. Pongavanam terkejut banjir kilat luar biasa di hadapan kuil berkenaan.
Menurutnya, walaupun pernah berlaku banjir kilat setiap kali hujan lebat tetapi tidak seteruk kali ini. – UTUSAN ONLINE