KUALA LUMPUR: Ibu pengacara dan pelakon popular, Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed menerusi syarikat, Noor Khan Enterprise memohon maaf di atas kesilapan kata-kata berhubung penggunaan jenama Harimau Menangis keluaran Aunty Tini Kitchen dalam sebuah video yang tular hari ini.
Noor Kartini berkata, pihaknya tidak pernah menghalang mana-mana individu menjual produk sama selagi tidak menyerupai bungkusan produk yang dipasarkannya.
Jelasnya, permohonan paten yang tular itu adalah bertujuan untuk melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan Harimau Menangis pada bungkusan produk itu.
“Itu adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang produk tiruan dalam pasaran yang boleh menyebabkan masalah kepada jenama pihak kami daripada pengguna di luar sana.
“Pihak kami tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menjual produk sama selagi tidak menyerupai produk yang kami pasarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tular di media sosial apabila warganet mula ‘menyerang’ ibu kepada pengacara popular itu selepas tangkap layar permohonannya di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) tersebar.
Tambah panas, video yang memaparkan Noor Kartini yang sedang memasak daging Harimau Menangis itu mengeluarkan kenyataan seolah-olah sudah mempatenkan resepi Harimau Menangis milik mereka.
Dalam pada itu, Noor Kartini juga menegaskan, pihaknya sentiasa mengamalkan persaingan sihat dalam berniaga.
“Pihak kami juga sentiasa mengamalkan polisi persaingan perniagaan yang sihat,” katanya.