PUTRAJAYA: Jumlah ditahan semalam naik lagi daripada kelmarin iaitu 578 berbanding 426 individu atas pelbagai ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kesemua mereka diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 59,692 pemeriksaan dengan meliputi pelbagai premis terdapat seluruh negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 525 dikompaun manakala 53 direman dengan kes tertinggi ialah tiada penjarakan fizikal sebanyak 108 kes.
“Diikuti rentas kawasan tanpa izin (90), tidak memakai pelitup muka (78), aktiviti pusat hiburan (68), gagal sedia alat rekod butiran (56), premis beroperasi lebih masa (51) dan lain-lain (127),” katanya menerusi kenyataan.
Sejumlah 2,724 pasukan yang meliputi 11,469 anggota semalam memantau 5,092 restoran, 4,222 pasar raya, 3,568 bank, 1,612 penjaja, 1,459 kilang dan 586 pejabat kerajaan.
Turut dipantau di seluruh negara semalam ujar beliau, ialah sebanyak 1,088 terminal pengangkutan darat selain 299 terminal pengangkutan air dan 78 terminal pengangkutan udara.
Seramai 40 pendatang asing tanpa izin juga ditahan melalui Operasi Benteng yang meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan Covid-19.
“Sebuah kenderaan darat dan sebuah bot dirampas, manakala 537 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 119 bot atau kapal asing berdekatan perairan negara,” jelasnya.
Ismail Sabri juga memaklumkan sejumlah 73 operasi sanitasi awam meliputi sebanyak 36 zon merah, dua zon jingga, empat zon kuning telah pun dilakukan di seluruh negara semalam.
Ia ujar beliau, melibatkan seramai 429 anggota bomba, 232 anggota pihak berkuasa tempatan dan tiga lagi dari pelbagai agensi dengan penggunaan sejumlah 45 buah jentera bomba
Menyentuh kuarantin wajib, seramai 1,210 individu tiba di tanah air dengan kesemuanya sudah pun diarahkan untuk menjalani proses itu di sejumlah 28 stesen kuarantin semalam.
“Sejumlah 113,844 individu pulang ke negara ini sejak 24 April lalu telah melalui kuarantin wajib di 77 buah hotel serta 13 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.
Sementara itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa empat tapak binaan di seluruh negara dengan kesemuanya didapati mematuhi SOP ditetapkan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 509 peruncit, 155 pemborong dan 29 pengilang.
Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,316 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan 15 diberikan nasihat, empat dikenakan amaran manakala dua lagi premis dikompaun. – UTUSAN