MELAKA: Kegiatan tiga individu menjual rokok dan minuman keras seludup bernilai RM53,907 melalui aplikasi WeChat terbongkar selepas dua premis di Melaka Raya dan Ujong Pasir, di sini diserbu polis, Jumaat lalu.
Dalam serbuan antara pukul 4.30 hingga 6.30 petang itu, ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 21 tahun hingga 28 tahun ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ketua JSJ negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, hasil maklumat awam dan risikan, serbuan dibuat dan pemeriksaan di premis menemukan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM38,508.
“Polis merampas sebanyak 331 botol dan 31 karton minuman keras, selain 87 karton rokok seludup bernilai keseluruhan RM53,907 yang dipercayai dijual untuk pasaran tempatan.
“Kita mendapati modus operandi mereka adalah menjual minuman keras dan rokok seludup menerusi aplikasi WeChat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sukri, bagaimanapun siasatan masih diteruskan kerana pihaknya percaya kegiatan itu mempunyai rangkaian lain.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas senjata buku lima di salah sebuah premis, namun semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Seorang suspek lelaki bekerja sebagai penjualan minuman keras manakala dua yang lain menganggur.
“Kesemua suspek direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Tambahnya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. – UTUSAN ONLINE