PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melalui Jawi Food Bank dengan kerjasama masjid-masjid di Wilayah Persekutuan menyalurkan bantuan kemanusiaan mangsa bencana banjir di Pahang dan Kelantan.
Bantuan meliputi keperluan asas semuanya bernilai RM 275,000 diagihkan hari ini dan 19 Januari ini.
Jawi dalam satu kenyataan berkata, bantuan ke Temerloh, Pahang dengan penghantaran bantuan keperluan asas berupa 5,000 kampit beras seberat 25 tan bernilai RM62,500.
“Bagi Kelantan, penghantaran bantuan keperluan asas berupa 5,000 kampit beras seberat 25 tan bernilai RM62,500 akan digerakkan pada 19 Januari ini,” kata kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan itu lagi, kedua-dua siri bantuan tersebut adalah susulan Misi Bantuan Kemanusiaan dilaksanakan melalui Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah,Taman Sri Rampai, Setapak ke Chini, Pekan Pahang pada 11 Januari lalu.
Katanya, bantuan itu adalah kesinambungan misi sebelum ini yang dijayakan dengan kerjasama Jawi Food Bank membabitkan 19 agensi dan badan bukan kerajaan lain.
“Penghantaran bantuan seperti beras, lampin pakai buang, kain batik, telekung dan pelbagai keperluan harian mangsa banjir dengan nilai bantuan RM150,000 sebelum ini.
“Keseluruhan nilai bantuan yang terlibat dalam semua misi tersebut berjumlah RM275,000,” katanya. – UTUSAN