Jangan tangguh laksana cukai rokok dan tembakau di Langkawi - Utusan Malaysia

Jangan tangguh laksana cukai rokok dan tembakau di Langkawi

N. SUBBAROW menggesa cukai berkaitan tembakau dan rokok di Pulau Langkawi, Kedah dikuatkuasakan dengan segera demi masa depan generasi muda yang bebas daripada rokok. Pic SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya tidak menangguhkan pelaksanaan cukai rokok dan tembakau di Langkawi, Kedah sehingga 31 Mac ini kerana dibimbangi bakal melahirkan lebih ramai perokok dalam kalangan golongan muda.

Pegawai Penyelidiknya, N. Subbarow berkata, tinjauan CAP mendapati pada masa ini lebih ramai perokok yang berusia belasan tahun merokok secara terang-terangan di pulau berkenaan.

“Penjual-penjual rokok mengaku ramai kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun termasuk kanak-kanak perempuan membeli rokok kerana bebas cukai serta dijual dengan lebih murah di Langkawi.

“Keputusan menjadikan Langkawi bebas daripada dikenakan cukai tembakau sehingga Mac depan hanya melahirkan lebih ramai generasi perokok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, cukai akan dikenakan ke atas produk rokok dan tembakau di semua pulau bebas cukai dan mana-mana zon bebas yang telah diberi kebenaran penjualan runcit rokok-rokok bebas cukai.

Bagaimanapun, pelaksanaan cukai tembakau dan rokok di pulau berkenaan ditangguhkan sehingga Mac depan.

Menurut Subbarow, beberapa negara menguatkuasakan undang-undang baharu yang melarang penjualan rokok dengan bebas namun sebaliknya berlaku di negara ini.

“Ini adalah langkah yang tidak sihat, di seluruh dunia ketika pandemik Covid-19 melanda, perokok adalah golongan yang berisiko tinggi.

“Merokok menyebabkan lebih banyak bahaya, tetapi di Malaysia kita membuka lebih banyak ruang untuk perokok,” katanya.

Oleh itu, katanya, CAP menggesa cukai berkaitan tembakau dan rokok itu dikuatkuasakan dengan segera demi masa depan generasi muda yang bebas daripada rokok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya