HULU TERENGGANU: Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu mengenai paras air di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud di Kenyir.
Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam.
“Empangan kita selamat dan saya memberi amaran kepada orang ramai supaya menghentikan perbuatan menyebar berita palsu tentang kejadian banjir yang disebabkan air dilepaskan empangan.
“Polis akan mengambil tindakan undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya selepas melawat Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Terengganu dan Kelantan, Bahagian Strategi dan Kawal Selia Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mustaphakamal Yaacob.
Baru-baru ini, TNB menasihatkan orang ramai agar tidak panik berikutan pengeluaran air melalui alur limpah Empangan Tasik Kenyir kerana ia adalah proses operasi biasa sesebuah empangan.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd., Datuk Nor Azman Mufti berkata, apabila air empangan di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud itu melepasi paras 145 meter, ia akan melimpah melalui alur limpah tidak berpintu.- UTUSAN