KUALA LUMPUR: Tindakan memuat naik dua video kenyataan jelik dalam laman Facebook tahun lalu, mengundang padah kepada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang, di sini semalam.
Jamal, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan iaitu secara sedar memuat naik dua video kenyataan-kenyataan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Kedua-dua video itu kemudian dilihat oleh orang awam pada pukul 12 tengah hari, 20 Ogos 2020 di Taman Dagang Avenue, di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan profil Datuk Sri Jamal Yunos di pautan www. facebook.com/watch/live masing-masing pukul 10 pagi dan 3 petang pada 19 Ogos 2020.
Bagi kedua-dua kesalahan berkenaan, Jamal didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu adalah denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan jumlah tersebut adalah berpatutan berdasarkan faktor kepentingan awam. Ini bermakna kedua-dua pertuduhan itu berjumlah RM40,000.
Namun peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin yang mewakili Jamal memohon mahkamah memberi jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan kedua-dua kes itu akan dimohon untuk dibicarakan secara bersama.
Hujah peguam bela, anak guamnya adalah seorang ahli politik yang mengusahakan restoran namun pendapatannya terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hakim Azrul Darus kemudian membenarkan Jamal diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 18 Februari ini sebagai tarikh sebutan kes serta serahan dokumen.
Pada 25 Ogos tahun lalu, Jamal dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung penghantaran memorandum berkaitan kegiatan judi yang diserahkannya kepada polis. – UTUSAN ONLINE