Isu capaian internet: SKMM proaktif ‘turun padang’ - Utusan Malaysia

Isu capaian internet: SKMM proaktif ‘turun padang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan pihaknya mengambil maklum berhubung pelbagai kisah masalah capaian internet yang mendapat liputan meluas media massa.

Agensi itu menjelaskan bahawa, pihaknya turut ‘turun padang’ dan mengambil pendekatan proaktif dalam menangani isu dialami penduduk di lokasi berkenaan.

“Justeru, masalah tersebut yang setakat ini dilaporkan berlaku di lapan lokasi sudah pun diberi perhatian serius dan disusuli tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antaranya Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Kelantan, SKMM telah menghubungi Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk pelaksanaan kerja penyambungan talian tetap Unifi.

Namun bagi penyelesaian jangka panjang, menara telekomunikasi di Kampung Batu Selinsing bakal dinaik taraf kepada teknologi 4G di bawah Projek Jalinan Digital Negara (Jendela).

Sementara di Kampung Siram, Kedai Tanjong, Pasir Mas, Kelantan, kesukaran siswi kembar berdepan capaian tidak stabil diselesaikan dengan TM memasang talian Unifi di rumahnya.

“Berhubung ketiadaan capaian yang dihadapi oleh anak-anak Orang Asli di Kampung Aring 5, Gua Musang juga di Kelantan, SKMM sedang cuba menanganinya,” kata kenyataan tersebut.

Setakat ini, tinjauan dibuat dan tindakan pengujian kekuatan isyarat dijalankan dan bagi pelan jangka panjang, sebuah menara baharu di bawah projek Jendela akan dibina di kawasan itu.

Menyentuh masalah dialami pelajar sekolah dan mahasiswa Kampung Kaum Asli Kemidak, Bekok, Segamat, Johor, masalah liputan capaian lemah juga bakal diatasi oleh SKMM.

Menurut kenyataan itu, menara baharu akan dibina di bawah pelan Jendela dan bagi jangka masa pendek, kaedah teknologi lain sedang diperincikan agar mereka tidak perlu belajar lagi di kebun kelapa sawit.

“Kisah murid sekolah terpaksa merayau di sekitar Pulau Aman, Pulau Pinang turut diambil tindakan dengan satu sektor antena menara di Batu Kawan telah dihala ke situ,” kata SKMM.

Pihak penyedia perkhidmatan juga berhasrat membina menara baharu di kawasan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dan permohonan tersebut sedang dipertimbang agensi itu.

Dalam pada itu, masalah capaian dialami penduduk Sabah terutama di Kampung Labi, Beaufort; Kampung Panikuan, Kudat dan Kampung Walahu, Ranau juga diteliti dengan serius.

Katanya, setelah dinilai, SKMM bakal membina menara PPS baharu di bawah pelan Jendela yang membolehkan mereka menikmati liputan perkhidmatan 4G untuk pembelajaran dalam talian.

“Segala langkah dilakukan itu untuk membantu dengan secepat mungkin di kawasan yang terkesan selain penduduk dapat menjalankan aktiviti seharian dengan lancar,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN