Indeks jenayah Johor turun 25.5 peratus - Utusan Malaysia

Indeks jenayah Johor turun 25.5 peratus

AYOB Khan Mydin Pitchay ketika menyampaikan Laporan Prestasi Tahun 2020 dan Amanat Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. -FB POLIS JOHOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menurunkan indeks jenayah kira-kira 25.5 peratus pada tahun lalu atau penurunan sebanyak 2,520 kes berbanding tahun 2019.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada 7,350 kes yang disiasat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri menyelesaikan sebanyak 3,960 kes, melebihi Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan pucuk pimpinan.

Katanya, dalam menangani isu penyeludupan dan penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), JSJ negeri adalah perintis dalam penggunaan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan pertuduhan di bawah jenayah terancang.

“Sejak 22 April hingga 31 Disember lalu, JSJ Johor menangkap seramai 716 suspek terdiri daripada 184 tekong dan 532 migran. Sebanyak 42 buah kenderaan darat dan sembilan buah bot bersama dengan 12 enjin bot dirampas.

“Dalam pada itu, seramai 77 suspek termasuk 19 pegawai agensi penguat kuasa diambil tindakan di bawah jenayah terancang mengguna pakai SOSMA manakala enam suspek diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya dalam Laporan Prestasi Tahun 2020 dan Amanat Ketua Polis Johor, hari ini.

Menyentuh mengenai operasi ke atas aktiviti pelacuran, Ayob Khan berkata, seramai 4,597 suspek ditangkap melibatkan jumlah rampasan wang tunai berjumlah RM1.35 juta dalam 2,745 serbuan Op Dadu tahun lalu.

“Berkaitan kes-kes jenayah harta benda, seramai 3,613 suspek ditangkap dan sebanyak 53 kumpulan ditumpaskan hasil pelbagai operasi yang dijalankan secara berterusan.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,793 suspek dituduh di mahkamah manakala 86 suspek diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya.

Bagi kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri pula, polis Johor membuat tangkapan melibatkan seramai 19,013 suspek yang terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah.

Katanya, jumlah rampasan dadah yang dibuat pula adalah sebanyak 2,765 kilogram dengan nilai sebanyak RM33 juta manakala jumlah harta yang disita pula sebanyak RM14 juta.

“Johor adalah kontinjen yang tertinggi membuat pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu sebanyak 738 pertuduhan pada tahun lalu. Bagi tempoh sama, JSJN Johor menyelesaikan 22,000 kertas siasatan yang terbengkalai bagi tempoh 2011 hingga 2019,” ujarnya.

Katanya, laporan polis melibatkan kes jenayah komersil turut menunjukkan penurunan sebanyak 1,640 kes berbanding tahun lalu.

Tambah beliau, kadar pertuduhan bagi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri pula menunjukkan peningkatan sebanyak 357 pertuduhan melibatkan 1,621 kertas siasatan.

“JSJK melancarkan 2,126 operasi dengan tangkapan seramai 2,326 suspek. Pencapaian sebanyak 95 peratus ini melebihi KPI yang ditetapkan iaitu pada paras 85 peratus,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya