SUNGAI PETANI: Seorang ibu mempunyai empat anak antara 14 penagih yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Muda dalam Op Cegah, di sini semalam.
Ketua Pegawai AADK daerah, Arnida Ishak berkata, wanita berusia 33 tahun itu bekerja sebagai promoter jualan langsung ditahan di rumahnya di sebuah kampung di sini dalam operasi tersebut dari pukul 9 pagi hingga 11.30 malam.
“Semasa ditahan, wanita itu berada bersama dua anaknya manakala dua lagi anaknya tinggal bersama keluarganya di tempat lain.
“Rumah wanita itu terletak di hujung kampung itu juga dipercayai menjadi port penagih dadah melepaskan gian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Arnida berkata, suami wanita itu tidak ada di rumah semasa tangkapan kerana sedang menjalani hukuman buang daerah di negeri lain.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati ibu kepada empat anak itu didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya lagi.
Selain itu, tambahnya, penagih lain pula ditahan hasil.serbuan di beberapa lokasi di sekitar Sungai Petani, Sungai Pasir, Tikam Batu dan Sungai Layar di sini.
Katanya, mereka yang ditahan itu berumur 22 hingga 38 tahun dan ketika ujian saringan air kencing dilakukan adalah positif pelbagai jenis dadah .
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya. – UTUSAN ONLINE