KUALA KRAI: Hobi memelihara atau membela burung jika dilakukan dengan penuh minat bukan sekadar dapat mengisi masa lapang, malah menjana pendapatan sampingan kepada penggemarnya.
Bagi seorang penggemar burung, Mohd. Suariman Mohd. Zain, 35, atau dikenali sebagai Pak Da, dia sudah memenangi banyak pertandingan sejak memelihara burung pada 2012.
Katanya, ketika ini dia membela burung merbah jambul atau candik bernilai tinggi yang mendapat permintaan meluas daripada penggemar burung.
“Kebiasaannya hadiah yang diterima adalah peralatan elektrik dan wang tunai.
“Bukan hadiah yang dikejarkan, pertemuan dengan pemilik burung candik lain sudah cukup memadai apabila kami dapat bertukar pendapat mengenai burung peliharaan,” katanya di sini semalam.
Menurut Pak Da, 10 ekor burung candik kesayangannya turut mendapat permintaan tinggi daripada penggemar burung dengan nilai mencecah ribuan ringgit.
Katanya, ketika ini burung candik paling popular bagi penggemar kerana keunikan gaya dan suaranya.
“Pada permulaan saya hanya membeli seekor burung dengan harga sekitar RM100 hingga RM500, tetapi kini mampu menjualnya dengan harga mencecah RM5,000.
“Saya selalu mengikuti pertandingan seni suara burung di dalam dan luar negeri seperti di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” katanya yang berasal dari Kampung Kebun Pisang, Chenulang, di sini.
Tambah Pak Da, setiap hari burung perlu dimandikan dan sangkar dibersihkan bagi mengelakkan burung mendapat penyakit yang enjejaskan suara burung serta dipercayai dapat memanjangkan hayat sehingga 20 tahun.
Katanya, bagi pertandingan pula, juri menilainya melalui empat kriteria iaitu galak, gaya, air suara dan hujung suara yang dinilai tiga juri sebelum diumum sebagai pemenang.
“Saya memperuntukkan dua jam setiap hari bermain dengan candik kesayangan yang turut ditempatkan di dalam sangkar khas.
“Saya bangga kerana hobi bela burung semakin diminati oleh anak muda kerana sebelum ini hanya orang lama menceburinya,” katanya yang mendapat sokongan isteri dan empat anaknya. – UTUSAN ONLINE