GEORGETOWN: Polis meminta orang ramai tidak memuat naik komen atau andaian negatif berhubung kejadian kebakaran di aras empat sebuah bilik pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdapat pelbagai andaian atau komen berbaur negatif oleh netizen menerusi laman sosial Facebook yang kononnya kebakaran itu disengajakan bagi tujuan penghapusan bahan bukti.
Katanya, netizen mengandaikan kejadian tersebut berlaku bagi memberi ruang kepada pesalah terlepas daripada pendakwaan atau hukuman mahkamah.
“Sebaliknya, insiden kebakaran ini langsung tidak melibatkan sebarang kemusnahan dokumen-dokumen penting penyiasatan termasuk barang-barang kes serta tidak menjejaskan sama ada kes yang masih dalam siasatan atau kes dalam perbicaraan mahkamah.
“Isi kandungan dokumen-dokumen yang musnah dalam kebakaran tersebut juga telah dimuat naik ke dalam sistem maklumat Polis Diraja Malaysia sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Soffian memberitahu, kebakaran yang berlaku di unit pentadbiran dan jurugambar bangunan pejabat itu hanya melibatkan kemusnahan beberapa fail pentadbiran dan peralatan fotografi serta peralatan elektrik seperti komputer dan alat pendingin hawa.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menghentikan komen-komen berbentuk andaian berkaitan insiden kebakaran tersebut yang boleh menimbulkan persepsi tidak sihat dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN ONLINE