KUALA LUMPUR: Ibu pengacara dan pelakon popular, Neelofa, Datin Noor Kartini nekad menarik balik permohonan penjenaman Harimau Menangis daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Noor Kartini berkata, dia memohon maaf dan sedar akan kekhilafan yang telah dilakukan serta berharap keputusan itu dapat meredakan isu yang tular sehingga sohor kini di media sosial.
“Saya membuat keputusan membatalkan trademark Harimau Menangis secepat mungkin. Tindakan saya itu sebenarnya untuk melindungi jenama perniagaan dan agen daripada produk-produk tiruan.
“Saya memohon maaf dan sedar akan kekhilafan yang telah dilakukan. Saya berharap keputusan itu dapat menjelaskan dan meredakan keadaan.,” katanya.
Noor Kartini berkata demikian dalam satu sidang media secara virtual yang berlangsung selama kurang lima minit sebentar tadi.
Tular di media sosial apabila warganet mula ‘menyerang’ ibu kepada pengacara popular itu selepas tangkap layar permohonannya di MyIPO tersebar.
Tambah panas, video yang memaparkan Noor Kartini yang sedang memasak daging Harimau Menangis itu mengeluarkan kenyataan seolah-olah sudah mempatenkan resepi Harimau Menangis milik mereka.
Dalam pada itu, ibu Neelofa itu turut menegaskan, dia tidak berniat untuk menutup periuk nasi sesiapa khususnya mereka yang berniaga produk daging Harimau Menangis.
“Bukan tujuan saya untuk tutup pintu rezeki sesiapa. Saya berharap isu ini telah selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi,” katanya.