KOTA BHARU: Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini semalam menyaksikan 265 kenderaan yang mahu memasuki negeri ini diarah berpatah balik oleh polis.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, arahan itu kerana pemandunya gagal mengemukakan dokumen seperti surat kebenaran rentas negeri dan surat pengesahan majikan.
“Sejumlah 11,160 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) yang mula dikuatkuasakan pada 12.01 pagi, 16 Januari hingga tengah malam tadi.
“Setakat ini Polis Kontinjen Kelantan mengadakan 19 SJR membabitkan 10 jajahan serta sempadan pintu masuk ke Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelantan adalah negeri ketujuh dikenakan PKP kedua dan pelaksanaan perintah tersebut berkuat kuasa semalam hingga 26 Januari depan.
Dalam perkembangan sama, Shafien berkata, sejak PKP pertama pada Mac tahun lalu hingga semalam, sejumlah 2,344 kompaun dikeluarkan polis negeri ini kepada orang ramai yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Semalam, Polis Kontinjen Kelantan bersama 100 pasukan pemantauan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di 900 premis perniagaan dan tempat awam membabitkan restoran, terminal bas, pasar dan rumah ibadat di seluruh negeri.
“Sepanjang pemantauan, tiada tangkapan,” katanya. – UTUSAN