ALOR SETAR: Seorang guru besar wanita di sebuah sekolah kebangsaan di Pendang dekat sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima suapan RM6,873 tujuh tahun lalu.
Noorlida Selamat, 56, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Mengikut kertas pertuduhan, Noorlida yang ketika itu menjawat jawatan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir Kechil, Sungai Petani dekat sini didakwa menerima wang tunai daripada seorang lelaki antara 7 Ogos 2014 hingga 11 Mei 2015.
Dia dituduh menerima wang menerusi akaun bank miliknya di sebuah bank di Jalan Lagenda Height dalam daerah Kuala Muda dan cek di pejabat SK Sungai Pasir Kechil.
Noorlida didakwa menerima wang itu dengan tiada balasan yang mana dia mengetahui lelaki berkenaan mempunyai perhubungan dengan kerja rasmi tertuduh.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.
Mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.- UTUSAN