Guna Ordinan Darurat ikut keperluan cegah Covid-19 - Utusan Malaysia

Guna Ordinan Darurat ikut keperluan cegah Covid-19

Ordinan Darurat boleh digunakan mengikut keperluan semasa bagi membanteras penularan pandemik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepanjang tempoh darurat sehingga 1 Ogos ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh memasyhurkan mana-mana ordinan mengikut keperluan semasa bagi tindakan serta-merta.

Menurut Perdana Menteri, ini merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta,  pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital  swasta bagi tujuan merawat pesakit Covid-19. 

“Menerusi  ordinan ini, bantuan yang boleh diperoleh daripada pihak swasta meliputi  sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti,” kata beliau pada Perutusan Khas di di sini semalam.

Selain itu, beliau berkata, kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan  yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara  pantas, cekap dan berkesan ketika pandemik.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sesuatu ordinan boleh dimasyhurkan bagi memperuntukkan  kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain kuasa  yang sedia ada, mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis  Diraja Malaysia di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana  undang-undang penguatkuasaan lain yang berkaitan. 

Kata beliau, ATM  akan diperuntukan kuasa untuk  membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan kesihatan  awam dan fungsi-fungsi yang dijalankan oleh pegawai awam yang  berkaitan semasa pandemik ini. 

Selaras dengan Proklamasi Darurat ini, jelas Perdana Menteri,  aspek kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan  memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk  menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sesiapa sahaja yang menceroboh negara.

“Selain itu, suatu Ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk meminda  Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk  meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan akta ini dalam  membendung Covid-19. 

“Ini termasuk meningkatkan penalti  atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan  peraturan berkaitan pengawalan wabak Covid-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, ordinan-ordinan yang bertujuan memerangi sabotaj ekonomi,  monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa  pandemik juga boleh dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda. 

Katanya, tindakan  penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman lebih berat boleh  dikenakan untuk tujuan tersebut. 

Menurut Perdana Menteri, semua ordinan yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda akan diwartakan dan  boleh diketahui rakyat.  

“Dalam tempoh darurat ini, kuasa eksekutif Persekutuan akan  meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan negeri kecuali bagi  apa-apa perkara hukum syarak atau adat Melayu.

“Ini termasuk mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Sabah atau  Sarawak, agama, kewarganegaraan dan bahasa, selaras dengan Fasal  6A Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya