Guna Bot kayu dan kuantiti sedikit, taktik baharu seludup ketum - Utusan Malaysia

Guna Bot kayu dan kuantiti sedikit, taktik baharu seludup ketum

MARITIM Malaysia, Zon Maritim Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar 100 kilogram daun ketum bernilai RM10,000 di kedudukan 0.3 batu nautika, barat muara Kuala Perlis, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Guna bot kayu enjin sangkut bergalah dengan membawa muatan daun ketum dalam kuantiti sedikit dikenal pasti sebagai modus operandi baharu penyeludup membawa keluar barang larangAN tersebut ke negara jiran.

Ia berikutan beberapa cubaan menyeludup keluar daun ketum dalam skala besar sebelum ini berjaya ditumpaskan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik tersebut juga gagal mengaburi mata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang mematahkan cubaan menyeludup keluar 100 kilogram daun ketum bernilai RM10,000 di kedudukan 0.3 batu nautika, barat muara Kuala Perlis, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, bot peronda Maritim Malaysia bersiap sedia melakukan serbuan dan tangkapan terhadap suspek yang sedang mengemudi bot kayu tanpa nombor pendaftaran menuju ke arah sempadan Thailand sekitar pukul 7.35 pagi setelah mendapat maklumat risikan.

Katanya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan ke daratan berhampiran dan kemudian bertindak terjun ke laut meninggalkan bot serta muatan dengan berenang melarikan diri ke hutan bakau berlumpur berhampiran.

“Sifat geografi perairan yang cetek dan berlumpur menyukarkan bot Maritim akses di kawasan paya bakau sekitar. Penyeludup mengambil peluang keadaan muka bumi pantai Kuala Perlis yang berpaya serta berlumpur untuk meloloskan diri daripada ditangkap.

“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan sembilan bungkusan plastik hitam yang mencurigakan dan di dalam mengandungi daun ketum yang dibalut kemas dengan plastik putih seberat 100 kilogram dengan anggaran nilai RM10,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, bot kayu berserta enjin sangkut bergalah turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM22,000.

Jelasnya, semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya