GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Bihai, di sini hari ini mengambil inisiatif membaiki sendiri jalan balak dan jambatan menghubungkan penempatan mereka yang rosak teruk akibat musim tengkujuh, baru-baru ini.
Mereka bergotong-royong membina jambatan sementara menggunakan kayu hutan dan buluh, selain menutup lubang besar pada jalan supaya lebih mudah dilalui.
Penghulu Pos Bihai, Alang Segan berkata, membaiki jalan balak tersebut sudah menjadi rutin masyarakat Orang Asli di situ selepas musim bah berlalu dan kerja-kerja itu mungkin mengambil masa beberapa hari.
“Dalam tempoh sebulan ini, empat kali kami terputus hubungan selepas jalan balak rosak teruk akibat cuaca buruk.
“Kejadian terbaharu pada Isnin lalu apabila hujan lebat menyebabkan penduduk tidak boleh keluar ke bandar membeli barang makanan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Seorang penduduk Orang Asli, Aros Anek, 36, pula berkata, sebelum ini tiga jambatan kayu ke kampung mereka runtuh akibat banjir lumpur dan penduduk mengambil masa 10 hari membina semula jambatan kayu itu secara bergotong-royong.
“Kini sebuah daripada tiga jambatan kayu terbabit kembali runtuh dan kita terpaksa membinanya semula,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah, Muhamad Yusrizal Ghani berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian jalan balak yang rosak.
Katanya, antara penempatan Orang Asli yang terputus jalan perhubungan setiap kali musim tengkujuh ialah di Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Tohoi dan Pos Simpor. – UTUSAN ONLINE