Geng curi kereta Elango Magna tumpas - Utusan Malaysia

Geng curi kereta Elango Magna tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan curi kenderaan dikenali Geng Elango Magna tumpas selepas dua lelaki tempatan ditahan pada 13 Januari lalu.

Berikutan penahanan itu, sebanyak 11 kenderaan curi ditemukan semula.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua suspek berusia 35 tahun dan 51 tahun itu dikesan aktif mencuri kenderaan membabitkan lori, van serta kereta sejak akhir bulan lalu.

Jelasnya, kumpulan tersebut didalangi suspek berusia 35 tahun dikenali sebagai Elango.

“Hasil siasatan mendapati, kumpulan ini dipercayai mendalangi 11 kejadian curi kenderaan dilaporkan berlaku di sekitar Kepong dan Jinjang, Sentul.

“Tiga kenderaan dicuri pada tahun lalu dan lapan lagi dicuri antara 1 Januari hingga 13 Januari lalu.

“Ini bermakna mereka mencuri sebuah kenderaan selang dua hari,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Eng Lai, pihaknya turut menemukan 49 unit skrin komputer dipercayai muatan yang ada dalam sebuah lori dilarikan, selain dua generator dilarikan daripada sebuah gudang yang dipecah masuk kumpulan itu.

“Semua kenderaan dan barangan rampasan dianggarkan bernilai RM120,000, manakala kenderaan dicuri pula adalah model lama kerana fungsi keselamatan kenderaan yang rendah memudahkan ia dilarikan.

“Untuk lori dan van, mereka hanya menggunakan gunting kecil untuk membuka pintu dan menghidupkan enjin kenderaan,” jelasnya.

Ditanya mengenai modus operandi, Eng Lai memberitahu, kumpulan itu menyasarkan kenderaan diletakkan di kawasan perumahan serta perindustrian dengan semua kenderaan dilarikan diletakkan di tepi jalan kawasan terpencil tanpa ditukar nombor pendaftarannya.

“Seorang daripada suspek berpengalaman sebagai mekanik dan bertanggungjawab meleraikan komponen kenderaan dicuri untuk dijual kepada individu atau bengkel sebagai alat ganti.

“Kita percaya terdapat permintaan tinggi untuk alat ganti kenderaan model lama kerana tidak mudah mendapatkan alat ganti baharu di pasaran,” katanya.

Tambah beliau, semakan terhadap suspek utama mendapati dia mempunyai 19 rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan dari penjara pada April tahun lalu kerana jenayah curi kenderaan, manakala rakannya mempunyai 16 rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mereka kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya