Gantung Parlimen didakwa tidak sah, mesti dicabar dan ditentang - Hassan - Utusan Malaysia

Gantung Parlimen didakwa tidak sah, mesti dicabar dan ditentang – Hassan

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantung Parlimen dengan pengisytiharan darurat didakwa tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan itu mesti dicabar dan ditentang.

Beliau berkata, tindakan menggantung Parlimen menggunakan alasan Proklamasi Darurat berkuat kuasa 11 Januari lalu dibuat tanpa sebarang alasan kukuh.

Menurut beliau, daripada perspektif undang-undang, Proklamasi Darurat dan penggantungan Parlimen adalah dua perkara berbeza.

“Yang di-Pertuan Agong bersetuju mengeluarkan satu Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan setelah berpuas hati dengan nasihat dikemukakan Perdana Menteri dan Kabinet.

“Proklamasi Darurat hanya setakat itu sahaja, tidak menyentuh penggantungan Parlimen. Tetapi untuk menggantung Parlimen, Perdana Menteri perlu mengemukakan alasan kukuh kepada Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya Muhyiddin gagal mengemukakan alasan-alasan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu turut memberitahu, Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen masih boleh bersidang ketika Proklamasi Darurat berkuat kuasa.

“Begitu juga Perkara 150(3) menyatakan Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) perlu dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen. Ini bermakna Parlimen masih berfungsi.

“Sejarah perundangan negara menunjukkan sejak dari 1971 hingga 2012 Malaysia mempunyai empat Proklamasi Darurat berkuat kuasa dengan sah daripada segi undang-undang,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam tempoh 41 tahun itu, Malaysia mengadakan sembilan kali pilihan raya umum (PRU) dan mempunyai sembilan penggal Parlimen iaitu dari PRU pada 1974 hingga 2008.

“Ini bermakna Parlimen wujud dan berfungsi sepanjang masa walaupun empat Proklamasi Darurat tersebut tidak dicabut atau dimansuhkan. Selanjutnya, sejarah menunjukkan Parlimen hanya digantung pada tahun 1969 sehingga 1971 akibat Peristiwa 13 Mei 1969.

“Sehubungan itu, Parlimen ketika ini tidak perlu digantung dan masih sah berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan. Jadi Ahli Parlimen mesti dipanggil bersidang seperti notis yang telah dikeluarkan sebelum ini iaitu Sidang Pembukaan Rasminya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 Mac 2021 akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya