Gadis enggan kerja urus jualan air ketum cedera dibelasah - Utusan Malaysia

Gadis enggan kerja urus jualan air ketum cedera dibelasah

PISAU yang dirampas daripada seorang lelaki yang membelasah seorang gadis berusia 20 tahun di Alor Merah, Butterworth, Pulau Pinang ketika ditangkap awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang gadis berusia 20 tahun cedera dibelasah seorang lelaki yang juga rakan ibunya kerana enggan mengikut arahan menguruskan perniagaan air ketum di sebuah rumah di Alor Merah, Sungai Dua, di sini Jumaat lalu.

Suspek berusia 27 tahun itu juga dikatakan berang selepas mangsa menegur kelakuannya yang bebas menjadikan rumahnya sebagai lokasi dadah bersama ibu mangsa berusia 40-an.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, gadis tersebut cedera dan lebam pada beberapa anggota badan selepas dipukul dan dihantuk pada dinding rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek dikatakan ke rumah itu kerana berang selepas mangsa tidak membenarkan dia datang ke situ lagi.

“Ini kerana mangsa memberitahu lelaki tersebut bukanlah saudaranya dan terdapat perempuan di rumah itu yang tidak manis pada pandangan orang kampung.

“Suspek yang masuk ke dalam rumah bertindak menarik tangan mangsa dan menghentak kepalanya pada dinding selain menendang perut dan pahanya sehingga cedera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, suspek turut memukul adik perempuan mangsa berusia 17 tahun dan ibunya yang cuba meleraikan perbuatan suspek.

Noorzainy berkata, polis menahan lelaki itu kira-kira pukul 5.30 pagi tadi di Kepala Batas, di sini selepas menerima laporan.

“Siasatan mendapati, rumah berkenaan dijadikan port dadah oleh suspek dan ibu mangsa yang merupakan penagih dadah sehingga membuatkan mangsa dan adiknya tidak selesa.

“Suspek dikatakan mengamuk selepas mangsa enggan bekerja dengannya untuk menguruskan perniagaan air ketum dan mangsa turut dihalau keluar dari rumahnya itu,” katanya.

Menurut beliau, polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 25 sentimeter daripada suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya