Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang mohon jumpa Ketua Menteri - Utusan Malaysia

Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang mohon jumpa Ketua Menteri

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang memohon mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi mendapatkan penyelesaian berkaitan isu monopoli bekalan ayam di bahagian pulau negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Muhammad Shaffi Yacob berkata, perbincangan dengan Ketua Menteri itu perlu diadakan bagi memberi gambaran sebenar dan mendapatkan penjelasan adil berhubung isu tersebut.

“Kami bersedia berjumpa dengan Ketua Menteri bagi membincangkan isu ini dan mendapatkan jawapan bukan hanya untuk kepentingan peniaga, malah seluruh penduduk.

“Isu ini bukan sahaja membabitkan umat Islam tetapi meliputi seluruh pengguna di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang mendakwa bekalan ayam di bahagian pulau di negeri ini akan dimonopoli oleh sebuah syarikat yang berpengkalan di Singapura.

Ekoran itu, kira-kira 200 peniaga ayam membantah tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mahu menghapuskan proses penyembelihan ayam di semua pasar basah.

Bagaimanapun, MBPP dalam kenyataan semalam memaklumkan, tiada paksaan bagi peniaga-peniaga ayam mendapatkan bekalan ayam bersih dari pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Batu Lancang.

Menurut Muhammad Shaffi, MBPP pernah mengadakan perjumpaan dengan para peniaga namun ia bukan satu sesi perbincangan atau soal jawab.

“Perjumpaan tersebut adalah untuk mengumumkan yang MBPP akan jalankan projek ini dan sebuah syarikat dilantik bagi membekalkan ayam kepada peniaga, malah tiada perbincangan dijalankan ketika itu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan MBPP sebelum ini yang memaklumkan syarikat dilantik untuk membekalkan ayam tersebut dibuat menerusi tender terbuka.

“Jika syarikat ini dilantik melalui tender terbuka, Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang ingin melihat dokumen tersebut.

“Bila pelantikan dibuat dan tarikh tender terbuka tersebut dikeluarkan, perkara ini perlu dijelaskan dengan lebih telus kepada semua pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya