KUALA LUMPUR: Pelakon, Fizo Omar berharap anaknya, Wan Maryam tidak mengalami simptom Covid-19 seperti pesakit lain selepas disahkan positif.
Fizo, 35, berkata, buat masa ini hanya bekas isterinya, Mawar Abdul Karim yang mengalami simptom wabak tersebut seperti batuk dan sakit dada.
“Mawar ada beritahu saya bagaimana sakitnya dia melalui itu seperti batuk sakit dada. Jujurnya ketika ini saya berharap sangat anak saya tidak melalui perkara yang sama memandangkan kita tidak tahu bagaimana seorang kanak-kanak akan berhadapan dengan keadaan ini.
“Mawar sudah mempunyai simptom sejak 29 Disember lalu, jadi bila buat swab test dia dan anak positif. Mereka kini berada di sebuah pusat perubatan untuk tujuan rawatan dan proses kuarantin.
“Alhamdulillah anak saya sehingga hari ini masih belum menunjukkan apa-apa simptom dan saya terus berdoa dia akan terus berada dalam keadaan itu,” katanya yang turut melakukan ujian swab dan disahkan negatif Covid-19.
Sebagai seorang ayah, Fizo mengakui kejadian ini benar-benar menakutkannya.
“Dahulu kita hanya tengok orang naik ambulans kerana penyakit ini dan bila melihat sendiri anak yang berada dalam keadaan itu rasa sebak itu sukar untuk saya jelaskan. Malah dalam keadaan sekarang saya juga tidak mampu buat apa-apa dalam membantu selain berdoa.
“Nasihat saya kepada mereka di luar sana jangan pernah lalai dalam menjaga keselamatan diri. Bila sudah berada dalam keadaan ini memang kita tidak mampu lakukan apa-apa. Kes juga semakin meningkat, jadi selalulah amalkan sikap berjaga-jaga,” kongsinya.
Sementara itu melalui hantaran di laman Instagram sebentar tadi, Fizo memuat naik kenyataan yang kini Mawar dan anaknya Maryam disahkan positif Covid-19 sejak 1 Januari lalu.