ALOR GAJAH: Empat beranak didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan rusuhan dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang anggota polis pada Jumaat lalu.
Majistret Nurhasmanita Abdul Manap menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md. Yusof Husin, 59, dan tiga anak lelakinya, Muhammad Sabeerin, 29; Muhammad Zahir, 27, dan Muhammad Al Nijam, 20.
Dalam prosiding sama, turut didapati bersalah dan didenda RM3,000 setiap seorang adalah tiga tertuduh lain iaitu Mohd. Aidel Md. Yusop, 31; Muhammad Noor Azroy Md. Sharif, 28, dan Muhammad Rozaimi Hasim, 28.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati melakukan rusuhan sehingga mencederakan seorang anggota polis berpangkat koperal.
Tindakan itu dilakukan pada pukul 8.10 malam di tepi jalan besar, Simpang Tiga Ayer Pasir, Machap Baru di sini pada 8 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian semua tertuduh menyerang seorang lelaki India yang mabuk dengan salah seorang daripada mereka bertindak menamparnya.
Anggota polis berkenaan kemudian cuba meleraikan pergaduhan, namun dimaki dengan kata-kata kesat sebelum salah seorang tertuduh menumbuk penguat kuasa itu di muka dan menendangnya berkali-kali sehingga mangsa cedera.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, hanya Mohd. Aidel dan Muhammad Sabeerin yang mengaku bersalah dan masing-masing dikenakan denda tambahan RM3,000 atas pertuduhan kedua itu.
Muhammad Zahir; Muhammad Al Nijam dan Muhammad Noor Azroy diperintah membayar jaminan sebanyak RM2,500 setiap seorang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pegawai Pendakwa SR. Arthana, manakala mahkamah menetapkan tarikh 19 Februari depan bagi sebutan semula kes.- UTUSAN