JOHOR BAHRU: Seorang ejen penghantaran direman lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini semalam bersabit kegiatan kartel daging sejuk beku import yang didedahkan awal Disember lalu.
Perintah reman dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nur Fathiah Mohd. Fedzier selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan berkenaan pagi tadi.
Suspek lelaki berusia 55 tahun ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 8 malam tadi.
Lelaki itu direman sehingga 16 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
Khamis lalu, dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor yang berusia 27 dan 31 tahun turut direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, seorang pengarah dan tiga pekerja sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku berusia 39 hingga 50 tahun direman empat hari yang berakhir pada Khamis minggu lalu.
Kesemua mereka yang direman sejak Isnin itu dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh tahanan reman tamat.
Pada 2 Disember tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendedahkan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.
Difahamkan, kartel yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti terbabit turut menawarkan habuan wang tunai dan seks bagi melindungi dan memastikan kegiatan mereka boleh dijalankan dengan bebas. – UTUSAN