PETALING JAYA : Tindakan dua penjenayah melakukan kegiatan samun ke atas sebuah kenderaan yang sedang berbaris di sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak arah ke Bentong di sini, semalam gagal selepas mereka diberkas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, dua suspek yang menaiki sebuah motosikal pada mulanya memecahkan cermin bahagian tempat penumpang hadapan sebuah kenderaan dipandu seorang wanita berusia 32 tahun sebelum melarikan beg tangan mangsa.
Bagaimanapun, perbuatan itu disedari pemandu lori di sebelah kenderaan mangsa kemudian membunyikan hon sebelum beberapa pemandu lain turut membunyikan hon masing-masing.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek yang panik cuba melarikan diri, namun seorang pemandu lori lain yang menyedari perkara itu bertindak pantas membuka pintu lorinya menyebabkan motosikal suspek terlanggar pintu lori itu dan terjatuh.
Jelasnya, pemandu lori terbabit dengan dibantu beberapa orang awam menangkap kedua-dua suspek.
“Kedua-dua suspek berusia 24 tahun dan 28 tahun itu kemudian diserahkan kepada anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya sebelum polis membuat tangkapan semula ke atas mereka.
“Pemeriksaan mendapati suspek melarikan beg tangan mangsa mengandungi pelbagai dokumen peribadi dan wang tunai RM90 dalam kejadian yang berlaku kira-kira 100 meter dari Plaza Tol Gombak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Arifai, ketika kejadian, mangsa sedang menunggu giliran dalam kesesakan untuk menghampiri sekatan jalan raya Plaza Tol Gombak.
“Semakan mendapati motosikal jenis SYM digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan ia dilaporkan hilang di Taman Melawati.
“Kita turut menemui dua beg tangan mengandungi dua kad pengenalan wanita milik dua mangsa samun dalam dua kejadian berasingan di Sentul dan Brickfields, yang turut berlaku kira-kira pukul 7.50 pagi dan 8.15 pagi semalam,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Arifai berkata, suspek menggunakan modus operandi hampir sama iaitu memecahkan cermin kereta sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum melarikan beg tangan mangsa.
“Seorang suspek ada rekod dikehendaki polis kerana kes dadah, selain rekod lampau berkaitan jenayah.
“Kedua-dua suspek direman lima hari mulai hari ini hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan berikutan penahanan itu, pihak kita berjaya menyelesaikan empat kes samun di daerah Gombak dan Kuala Lumpur,” katanya.-UTUSAN ONLINE