PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul dan ugutan jenayah di sebuah restoran, Selasa lalu.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Siti Mazrah Mohamad membenarkan kedua-dua lelaki itu masing-masing berusia 39 tahun dan 42 tahun ditahan reman bermula hari ini sehingga esok.
Permohonan tahanan reman itu dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.
Seksyen 323 adalah bagi kesalahan mendatangkan cedera yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding reman itu kedua-dua lelaki berkenaan diwakili peguam Datuk Suraj Singh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat sebelum ini memberitahu, kedua-duanya ditahan berhubung kejadian yang berlaku di Restoran TST, Tropicana Avenue, di sini pada Selasa lalu.
Menurut Fadzil, kejadian dipercayai berpunca daripada teguran seorang lelaki yang merupakan pelanggan yang duduk di meja bersebelahan kerana salah seorang daripada mereka bercakap dalam nada suara yang tinggi.
Sebelum ini, satu klip video berdurasi 50 saat tular di media sosial memaparkan seorang lelaki dipukul di restoran berkenaan. – UTUSAN ONLINE