KUANTAN: Hujan lebat berterusan di daerah ini sejak Jumaat lalu menyebabkan laluan utama di pekan Gambang dekat sini dinaiki air secara mendadak pada tengah hari tadi.
Tinjauan mendapati Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini berubah menjadi laluan air bermula di hadapan Klinik Kesihatan Gambang hingga Bukit Gambang Resort.
Kejadian tersebut menyebabkan deretan kedai serta beberapa rumah sekitar Taman Gambang Damai di sini turut dinaiki air antara 0.5 hingga satu meter.
Selain itu, tinjauan turut mendapati paras banjir di sini semakin meningkat berikutan limpahan air Sungai Lepar dan Sungai Belat akibat hujan lebat.
Sementara itu, tinjauan di pusat bandar di sini juga mendapati beberapa laluan termasuk di Jalan Dato Lim Hoe Lek dan Jalan Bukit Sekilau turut dinaiki air.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan di Kuantan, Maran, Pekan, Rompin, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Bera yang dijangka berlarutan hingga Selasa ini. – UTUSAN