PETALING JAYA : Dua keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Taman Batu 10 1/2 Jalan Gombak Kampung Sungai Chinchin, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu turut menyebabkan dua buah kedai musnah 80 peratus namun tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, sebanyak 44 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, BBP Wangsa Maju, BBP Rawang, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kepong, PBS Seri Serdang dan Gombak dikerahkan ke lokasi kejadian.
Kata beliau, selain itu, sebanyak 25 anggota polis serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terbabit dalam operasi itu.
“Sebaik sahaja tiba, kami mendapati kebakaran itu membabitkan tiga premis iaitu dua kedai dan sebuah rumah ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Hafisham, anggota bertugas dari BBP Wangsa Maju melakukan pemadaman di bahagian belakang menggunakan pam tangki jentera dari jentera PBS Gombak sebelum kebakaran dipadamkan lebih satu jam kemudian.
“Turut berada di lokasi adalah Ahli Majlis Kawasan Gombak, wakil Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ketua Kampung Sungai Chinchin,” katanya.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan individu yang terbabit dalam kejadian itu kemudian diserahkan kepada Ahli Majlis dan mereka ditempatkan di dewan berhampiran untuk tindakan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE