PORT DICKSON: Dua bangkai penyu jenis karah dan agar berusia lebih 20 tahun ditemukan di pantai Telok Kemang, Port Dickson dekat sini.
Penyu jenis agar dianggarkan berat 120 kilogram itu ditemukan pada 27 Disember tahun lalu manakala penyu jenis karah seberat 60 kilogram ditemukan di Batu 10 semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai penemuan bangkai penyu tersebut.
“Keadaan bangkai sudah reput dan penyebab kematian tidak dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Halimi, pihaknya merayu kepada mana-mana pihak supaya melindungi reptilia marin terancam tersebut dan dapat menghubungi Jabatan Perikanan secepat mungkin.
“Pihak Kami merayu dan menyeru semua pihak untuk bersama-sama melindungi reptilia marin terancam ini khususnya para nelayan sekiranya terdapat penyu tersangkut pada pukat, lepaskanlah segera.
“Sekiranya ada pihak yang menjumpai penyu yang cedera atau menjumpai bangkai penyu juga perlu laporkan segera kepada Jabatan Perikanan,” katanya. – UTUSAN