BUTTERWORTH: Dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC milik seorang warga Myanmar di tepi bendang Padang Tembusu, di sini Selasa lalu ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd. Noor berkata, kedua-dua suspek yang berusia 28 tahun dan 29 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal di kawasan Penaga menerusi Op Cantas dan Op Lejang yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah D9, kira-kira pukul 9 malam.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif menjalankan kegiatan terbabit sejak tahun lalu dan menyasarkan warga asing sebagai mangsa.
Katanya, modus operandi yang digunakan adalah masing-masing menyamar sebagai anggota polis dan membuat pemeriksaan sebelum menyamun mangsa.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing memiliki sembilan dan tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah serta dadah.
“Menerusi tangkapan ini, kita menyelesaikan lima kes membabitkan empat kes samun wang tunai dan satu kes kecurian motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di IPD SPU, di sini hari ini.
Dalam kejadian Selasa lalu, warga Myanmar berusia 40 tahun yang sedang makan di tepi bendang didatangi kedua-dua suspek yang menunggang motosikal dan memintanya menunjukkan dokumen pengenalan diri.
Mangsa yang enggan berbuat demikian kemudian dipukul dengan sebatang kayu sebelum motosikalnya dilarikan salah seorang suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Noorzainy berkata, seorang remaja berusia berusia 19 tahun ditahan semalam selepas meragut seorang wanita warga emas di sebuah pangsapuri di Kampung Benggali, Rabu lalu.
Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa yang berusia 65 tahun sedang memeriksa meter air di hadapan rumahnya.
“Ketika mangsa masuk semula ke dalam rumah, suspek bertindak menolaknya sehingga terjatuh dan meragut seutas rantai, dua loket dan sebentuk cincin sebelum melarikan diri.
“Suspek ditahan di Kampung Perlis, Butterworth kira-kira pukul 8 malam semalam dan kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE