IPOH: Keadaan Dewan Serbaguna Pusat Aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pengkalan Jaya, di sini yang ditumbuhi semak samun menimbulkan tanda tanya kepada penduduk setempat seolah-olah diabaikan pihak berkuasa.
Dewan yang berusia lebih 10 tahun itu dibaik pulih dan dicat baharu oleh kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dua tahun lalu tetapi kemudian dibiarkan sehingga keadaannya tidak terurus.
Kini, kemudahan berkenaan yang sering menjadi lokasi untuk masyarakat setempat mengadakan kenduri-kendara dan majlis perkahwinan terbiar selain dihuni sekumpulan anjing liar.
Seorang penduduk, Mohamad Hairul Jamaluddin berkata, sejak dua tahun lalu, dewan berkenaan dibiarkan tidak terjaga sehingga lalang memenuhi kembali di kawasan sekitarnya.
Katanya, dewan itu yang mempunyai dua gelanggang badminton sebelum ini juga sering menjadi lokasi masyarakat setempat bersukan dan beriadah.
“Dewan serbaguna ini memang menjadi pilihan peminat sukan bulu tangkis untuk disewa kerana senang dikunjungi selain mudah meletak kereta tapi kini terpaksa menyewa lokasi lain.
“Sebelum ini dewan diuruskan oleh jawatan kuasa KRT taman perumahan ini sebelum diambil alih MBI sehingga sekarang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Persoalan sama disuarakan seorang lagi penduduk, Fadzir Husain berikutan tiada pihak yang dipertanggungjawabkan berbuat demikian untuk menyelia dewan tersebut.
“Penduduk juga hairan kenapa tidak dilantik mana-mana pihak untuk menjaga dan menyelia dewan itu setelah lama menunggu untuk siap dibaik pulih.
“Kemudahan tersebut kini umpama gajah putih sedangkan lokasinya hanya bersebelahan dengan masjid, pasar awam dan tapak pasar malam,” ujarnya.
Justeru, dia menyeru kepada pihak berwajib agar mengambil berat dan prihatin kepada perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE