Datuk, rakan mengaku salah cederakan tiga mangsa - Utusan Malaysia

Datuk, rakan mengaku salah cederakan tiga mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pelbagai pertuduhan termasuk mencederakan tiga individu di sebuah restoran, minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, Datuk Tan Wai Khan, 42, didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Magdelene Wong Chung Yi, 31, dan Lee Dek Quan, 26, kira-kira pukul 9 malam, 12 Januari lalu di Restoran Steambot TST, Tropicana Avenue, Damansara di sini.

Bagi kesalahan ini, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Wai Khan juga didakwa bersama rakannya Ang Mow Loong, 39, mendatangkan kecederaan terhadap Kwan Pei Chong, 31, dengan memukulnya pada masa, tarikh dan tempat sama. 

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 323 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan memperuntukkan hukuman sama.

Mereka juga didakwa pada masa, tarikh dan tempat sama melakukan kacau ganggu yang boleh menyebabkan kegusaran pelanggan dan pekerja di restoran berkenaan. Bagi kesalahan ini, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM400.

Bagaimanapun, Wai Khan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khianat dengan memecahkan pinggan mangkuk milik Pei Chong.

Pertuduhan bagi kesalahan ini dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat mencadangkan ikat jamin RM35,000 bagi Wai Khan manakala RM14,000 bagi Mow Loong bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi namun peguam bela, Suraj Singh memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.

Selepas mendengar hujahan  kedua-dua pihak, Majistret Nurshahira Abdul Salim menetapkan jaminan RM10,000 bagi Wai Khan dan RM4,000 bagi Mow Loong. Mahkamah turut menetapkan 2 April ini untuk jatuh hukum dan penyerahan dokumen.

Terdahulu, sebelum prosiding bermula, kedua-dua tertuduh menemui pihak media yang menunggu di luar dewan dan masing-masing menyatakan kekesalan mereka atas insiden berkenaan.

Wai Khan mengulangi permohonan maafnya yang pernah dibuat dalam media sosial atas perbuatan mengasari mangsa terutamanya mangsa wanita.

Minggu lalu tular di media sosial insiden dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk memukul pengurus restoran sebuah restoran di Tropicana Avenue di sini.

 Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan siasatan awal pihak polis mendapati mangsa dipukul kerana menegur suspek yang duduk di meja bersebelahan kerana bercakap dalam nada suara yang tinggi.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya