Darurat: Aktiviti ekonomi tidak terhenti - Utusan Malaysia

Darurat: Aktiviti ekonomi tidak terhenti

Keputusan mengumumkan darurat tidak menjejaskan aktiviti ekonomi negara- UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk  terus bekerja.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberikan jaminan bahawa segala bentuk  perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus  beroperasi seperti biasa. 

Beliau menjelaskan, aktiviti-aktiviti ekonomi juga akan terus berfungsi tertakluk kepada  prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  yang berkuat kuasa.

“Kepada semua pihak berkepentingan yang dengan teliti memantau apa yang berlaku di Malaysia, saya menekankan bahawa negara terbuka untuk perniagaan. 

“Dalam menghadapi masa-masa mencabar ini, tempoh darurat ini akan memberi ketenangan dan kestabilan yang sangat diperlukan, serta memungkinkan kita untuk fokus kepada pemulihan dan pertumbuhan semula ekonomi. 

“Kerajaan tetap komited mentadbir dengan baik pada masa ini dan kami mempunyai ekosistem peraturan yang kuat dan dinamik dan kerajaan mempunyai enam strategi pemulihan ekonomi sejak Mac tahun lalu dan dimasukkan dalam Belanjawan 2021,” kata beliau dalam Perutusan Khas di sini hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi  satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik  mengenepikan perbezaan masing-masing  dan bersolidariti bersama  rakyat. 

Katanya, bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh  bertanggungjawab. 

Beliau turut memberi jaminan sepanjang tempoh darurat ini,  badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukuman dan  keadilan. 

“Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan  kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri  urusan mahkamah. 

“Kerajaan juga komited memastikan amalan-amalan  governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat serta organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat  antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti selain Bursa Malaysia akan terus memainkan peranan mereka sebagai  pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran,” katanya. 

Perdana Menteri pada masa sama merayu semua pihak  supaya kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan untuk membendung penularan Covid-19 dengan lebih  berkesan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan. 

Beliau turut menyeru semua ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan  kerajaan, badan-badan agama, belia, mahasiswa dan setiap lapisan  masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu dalam menghadapi  situasi yang amat sukar ini.

“Marilah kita mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat  sepanjang tempoh PKP dan darurat yang berkuat kuasa ini. Mudah-mudahan kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 dengan  segera dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan  negara kita yang sedang terbeban dengan peningkatan kes-kes positif  Covid-19 saban hari. 

“Saya memberi amaran keras, sesiapa yang cuba mengganggu gugat usaha kerajaan untuk mengurus pandemik Covid-19 dan ekonomi  negara akan diambil tindakan tegas demi kesejahteraan rakyat dan  keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya