Dah bawa Grab, suruh jadi spy pula - Utusan Malaysia

Dah bawa Grab, suruh jadi spy pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Salah satu kelebihan menjadi pemandu Grab ini adalah bertemu dengan pelbagai ragam penumpang. Kadang-kadang yang tak terjangkau dek akal. Cuma apa yang perlu, kita bersifat ramah dan mesra dengan penumpang. Kalau muka masam saja, orang hendak bersembang dengan kita pun tak kuasa. Betul tak?

Apa pun bagi pemandu Grab, mahu bersembang kena tengok mood penumpang juga. Kalau nampak muka ‘ketat’, tak payahlah ramah sangat, takut nanti dapat rate satu bintang pula.

Kisah saya ini terjadi baru-baru ini. Oleh sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya lebih suka berlegar-legar di Bangi dan Kajang sahaja. Sambil itu, saya berharap tak mendapat perjalanan jauh yang perlu menempuh sekatan polis. Orang lain mungkin mahu tapi saya pula, malas sebab nak elak bersoal jawab.

Hari itu saya mendapat penumpang perempuan yang agak muda. Lawa orangnya. Mula-mula naik, dia diam sahaja selepas menjawab salam saya. Saya biarkan dia leka melihat telefon pintar, tak mahu berbual agaknya. Muka pun murung. Namun tak lama kemudian dia menegur dengan soalan wajib, ‘akak dah lama bawa Grab? Saya jawab, lebih kurang dua tahun.

“Akak tak nak buat part time Grab?” Tanyanya kepada saya. “Maksudnya?,” Tanya saya.

Dalam hati saya berkata, ini mesti hendak hantar dan ambil dari pejabat. Kalau itu, memang saya tak mahu sebab terikat dengan waktu.

“Part time untuk intai orang kak,” katanya terus terang. Alamak, apa pula ini. Nak suruh aku jadi spy ke? Dalam hati saya berbisik.

“Begini, kawan saya ini syak suaminya curang. Dia nak intai payah sebab ada anak kecil. Saya nak buat tak boleh sebab tak ada kereta. Jadi, nak cari orang yang boleh ikut suami dia ini pergi mana. Kalau dapat ambil gambar lagi bagus,” kata penumpang ini.

Hampir tercekik saya dengar permintaannya. Ini sudah lari bidang tugas, kena jadi pengintip pula. Sudah macam James Bond. Saya tersengih dan tak memberi jawapan. Sengaja saya panjangkan lagi perbualan. Bekas wartawanlah katakan!

“Iya ke dia curang? Pasti? Entah-entah dia salah sangka,” kata saya serkap jarang.

“Betul kak, ada bukti mesej dan gambar. Cuma tak tahu dekat mana skandal suami dia tinggal. Sebab kadang-kadang suaminya tak balik rumah,” katanya.

“Aduh, berat permintaan ini. Akak bab-bab hendak mengintai orang ini, takut juga. Kenapa tak upah penyiasat persendirian, lagi pakar,” kata saya.

“Ada ke kak? Pasal duit, kawan saya ini tak kisah. Dia mampu cuma sekarang dia tak boleh hendak fikir apa sebab tengah sedih,” ujarnya.

Saya cadangkan guna Google sebab di dalamnya segala jenis perkhidmatan ada. Sediakan duit saja.

“Okey kak, nanti saya cari. Tapi akak pasti tak nak? Ikut saja kereta dia itu. Kalau Grab, sure tak perasan sangat,” pancing wanita ini lagi.

“Dik, akak kawin pun belum. Malas nak ambil peduli kisah rumah tangga orang. Buatnya suami dia handsome, karang akak yang tergoda,” gurau saya.

“Suaminya tak handsome kak. Gemuk tapi kaya. Bak kata orang sekarang, tak handsome tak apa, janji kaya,” tambahnya. Berderai ketawa kami.

Hasilnya, penilaian ke atas saya mendapat rating lima bintang dengan ulasan ramah dan kelakar!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya