Cetus provokasi terhadap polis, 7 lelaki direman 3 hari - Utusan Malaysia

Cetus provokasi terhadap polis, 7 lelaki direman 3 hari

SERAMAI tujuh lelaki ditahan reman tiga hari di Mahkamah Majsitret Georgetown, Pulau Pinang pagi ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tujuh lelaki ditahan reman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden sekumpulan lelaki disyaki mengepung dan menghalang tugas polis dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, di sini kelmarin.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi pagi ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 23 tahun hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Terdahulu, kesemua mereka ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjong Tokong di sini, semalam susulan laporan polis yang mendakwa mereka menolak, mengajak bergaduh dan mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap polis ketika kejadian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka susulan kejadian kemalangan kira-kira pukul 5.20 petang kelmarin melibatkan dua lelaki yang menunggang motosikal dengan sebuah kereta sehingga mengalami kecederaan parah.

Kemalangan itu berlaku ketika penunggang motosikal terbabit cuba melarikan diri daripada tiga anggota polis Unit Rondaan Bersepadu (URB) yang membuat rondaan di Jalan Pinang.

Selain mencetuskan provokasi terhadap anggota polis, kumpulan lelaki berkenaan turut mendakwa anggota polis terlibat menendang motosikal dua lelaki berkenaan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Dalam pada itu, siasatan awal mendapati dua daripada suspek yang ditahan masing-masing memiliki lima dan tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah manakala hasil ujian air kecing mendapati dua daripada mereka turut positif dadah jenis ganja.

Sementara itu, video adegan provokasi itu turut ditularkan dalam media sosial terutama di laman Facebook sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Sehubungan itu, polis turut menjalankan siasatan terhadap hantaran-hantaran di dalam media sosial (Facebook dan WhatsApp) yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej polis untuk disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN