KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri baharu atas budi bicara Seri Paduka dengan mengemukakan syarat baharu sokongan wakil rakyat mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ini bermakna, seseorang ahli parlimen itu harus mendapat sokongan majoriti 140 wakil rakyat dan bukan lagi 112 sokongan seperti sedia ada bagi mengelakkan gerakan mengguling kerajaan, sekali gus mengelak pertukaran tampuk pimpinan sebelum tempoh matang pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dicapai.
“Tidak salah jika Agong katakan bahawa mahu meletakkan syarat baharu terhadap sesiapa yang merasakan mendapat sokongan majoriti namun sekurang-kurangnya perlu mendapat 140 sokongan.
“Rasionalnya adalah, macam mana Agong yakin bahawa kali ini tiada lagi pihak yang akan mengetuk pintu (istana) untuk mempersembahkan akuan bersumpah (SD)? Agong sudah penat dan tidak mahu lagi orang datang ketuk pintu istana setiap dua atau tiga bulan.
“Cuma, persoalannya ialah siapa? Ada atau tidak mana-mana ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti? Mustahil untuk mendapatkan jumlah sokongan seperti itu kerana tiada seorang pun yang mendapat sokongan majoriti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam, parti itu bersetuju membawa usul majoriti perwakilan bahagian yang menolak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi PRU-15 ke Perhimpuan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan, 31 Januari ini.
Keputusan itu menimbulkan pelbagai kemungkinan dan sekiranya UMNO meluluskan usul tersebut, ia menjadi penentu kepada pendirian UMNO sama ada mahu terus bekerjasama atau menarik sokongan kepada PN atau tidak. Jika menarik sokongan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memiliki 111 sokongan hilang kepercayaan wakil rakyat kerana 38 Ahli Parlimen UMNO berundur.
Terdahulu, sumber daripada ketua-ketua bahagian mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sejumlah 189 daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PN dalam PRU-15 bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 143 daripada 191 bahagian parti (74.8 peratus) enggan bekerjasama.
Keputusan itu hadir selepas UMNO mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO Bahagian Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri yang berlangsung secara serentak di seluruh negara selama tiga hari baru-baru ini sekali gus memberi tamparan hebat buat PN.
Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri berkata, pembubaran Parlimen disebabkan usul penolakan akar umbi UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu bukan keutamaan kerana sokongan kepada Muhyiddin sudah terbukti ketika undian Belanjawan 2021.
Namun, sekalipun Muhyiddin mendapat sokongan majoriti, jika UMNO meluluskan usul menolak kerjasama dengan PN dan melepaskan semua jawatan di dalam kabinet, ini menuntut beliau meletakkan jawatan atau menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.
“Bila kerajaan jatuh, Perdana Menteri pun jatuh dan bila jatuh tidak bermakna Parlimen bubar tetapi ia berbalik kepada kuasa Agong,” katanya. – UTUSAN ONLINE