PETALING JAYA: Bukan sahaja didera sejak tiga tahun lalu, malah seorang kanak-kanak perempuan yang lumpuh turut disepak dan ditendang sehingga usus pecah oleh nenek saudaranya sendiri.
Mangsa berusia lima tahun yang mempunyai penyakit lebihan cecair dalam otak itu dipercayai diperlakukan sedemikian oleh suspek yang juga warga Indonesia berusia 55 tahun sehingga mengakibatkan kematiannya pada 30 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri oleh ibu saudaranya di rumah mereka di Kampung Sungai Chinchin pada pukul 7 malam hari kejadian sebelum disahkan meninggal dunia.
Ujarnya, sebelum ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sebelum membuka siasatan sebagai kes bunuh kerana terdapat unsur jenayah pada mangsa.
“Keluarga mangsa pada mulanya mendakwa mangsa mengalami sakit perut dan muntah sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di ruang tamu selain menolak proses bedah siasat dijalankan.
“Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dijalankan keesokan harinya membongkar tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak itu apabila disahkan mangsa maut akibat kecederaan pada ususnya yang pecah dipercayai didera.
“Pemeriksaan lanjut juga menemui kesan parut lama pada tubuh mangsa dipercayai dicucuh dengan ubat nyamuk yang dibakar,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Rawang hari ini.
Menurut Arifai, siasatan juga tidak menolak kemungkinan mangsa didera kerana sering buang air besar tanpa sedar disebabkan mangsa tidak boleh berjalan dan berdiri dengan sempurna.
“Kita telah menahan enam individu masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 55 tahun termasuk suspek utama yang juga nenek saudara mangsa untuk siasatan lanjut.
“Kesemua suspek ditahan 1 Januari lalu kini direman selama enam hari sehingga 7 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE