Bomoh didakwa lakukan jenayah seksual terhadap pesakit - Utusan Malaysia

Bomoh didakwa lakukan jenayah seksual terhadap pesakit

WAN Ismail Wan Md Zain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini atas pertuduhan melakukan perhubungan seksual dengan jari terhadap pesakitnya minggu lalu. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang bomoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perhubungan seksual dengan jari terhadap pesakitnya di Melor, minggu lalu.

Tertuduh, Wan Ismail Wan Md. Zain, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perhubungan seksual terhadap seorang pesakit wanita berusia 28 tahun dengan menggunakan jari tanpa kerelaan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di dalam bilik sebuah rumah di Melor, di sini kira-kira pukul 8.50 malam pada 12 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Faizuan Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan.

Mohd. Faizuan tidak mencadangkan sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh namun Roshayati memohon agar mahkamah memberi jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh mempunyai tujuh anak dengan empat daripada mereka masih berada di bawah tanggungan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tertuduh tidak boleh menganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan selain perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh 23 Februari depan untuk sebutan semula kes dan laporan perubatan.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya