IPOH: “Saya reda kalau suami meninggal dunia tetapi biarlah jasadnya ada di depan mata.”
Itu harapan Khadijah Din, 59, isteri kepada Ahmad Amin Ismail, 58, lelaki yang dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11 dekat Chemor di sini pada Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang ketika hujan lebat itu, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Ego S dihanyutkan arus deras longkang berkenaan.
Khadijah berkata, sejak kejadian itu, dia dan tiga anaknya tidak pernah putus harapan dan sentiasa berharap agar Ahmad Amin dapat ditemukan segera.
Katanya, sama ada mangsa dijumpai telah meninggal dunia, sekurang-kurangnya mereka sekeluarga dapat menyempurnakan pengebumian lelaki itu.
“Harapan kami biarlah dapat (jumpa), dia mati ke hidup ke janji dia ada depan mata.
“Jika dia hidup, Alhamdulillah namun jika hanya jasadnya sahaja, kami kena reda. Apa yang penting boleh dikebumikan dan ada kubur,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian di sini hari ini.
Menurut Khadijah, tiga anaknya masih belum dapat menerima berita kehilangan bapa kesayangan yang dipanggil babah itu terutama anak perempuan bongsu yang berusia 17 tahun.
Katanya, mereka juga sukar untuk melelapkan mata kerana bimbangkan keselamatan lelaki itu yang sehingga kini masih belum dijumpai.
“Bukan sahaja susah untuk tidur malah untuk makan pun kami tiada selera, saya sendiri makan pun hanya untuk makan ubat sahaja, semua jadi serba tidak kena kerana teringatkan dia,” katanya.
Tambah Khadijah, setiap hari dia akan berulang-alik ke Pos Kawalan Tempat Kejadian bagi mendapatkan maklumat terkini pencarian suaminya itu.
“Setiap hari saya ada di sini dan biasanya saya akan ke kubur anak kami dahulu sebelum datang ke sini (pos kawalan).
“Semalam, saya sempat melihat beberapa sungai yang menjadi lokasi pencarian dan melihat pasukan SAR menjalankan kerja, terima kasih banyak-banyak atas usaha mereka,” katanya.- UTUSAN ONLINE