PETALING JAYA: Persatuan peniaga dan pengguna menyambut baik saranan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin supaya memberikan moratorium enam bulan bayaran ansuran pinjaman kepada mangsa terjejas banjir, namun ia tertakluk kepada ihsan pihak perbankan.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, Mohamed Tarmizi Mohamed Akil berkata, saranan tersebut disambut terutama bagi mereka yang terjejas teruk akibat banjir.
“Para peniaga yang terjejas akan mengambil masa untuk bangkit semula ditambah dengan barangan mereka yang rosak, pasti menjadikan keadaan lebih sukar kepada mereka.
“Pemberian moratorium adalah satu langkah yang terbaik kerajaan buat para peniaga terutama di kawasan banjir yang teruk untuk bangkit semula meneruskan kehidupan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Sharkar dilapor menyesyorkan institusi perbankan memberi moratorium enam bulan bayaran ansuran bulanan pinjaman dan memansuhkan caj-caj tertentu kepada pelanggannya yang menjadi mangsa banjir.
Penangguhan pembayaran itu perlu diberikan kepada pelanggan perbankan perniagaan, perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan yang mana terjejas ekoran musibah berkenaan.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Dr. Nuradli Ridhwan Shah berkata, saranan itu adalah langkah terbaik dalam membantu mereka yang terkesan akibat bencana banjir, namun ia juga tertakluk kepada ihsan pihak bank.
“Apa-apa keputusan hendaklah melibatkan pihak perbankan itu sendiri dan mungkin hanya mengikut kawasan yang benar-benar terjejas diberikan moratorium tersebut.
“Saya menyokong kerana saya juga pernah terkesan dahulu akibat banjir di Pahang dan dibantu dengan pemberian moratorium selama tiga bulan oleh pihak Maybank dan itu amat melegakan saya sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE