SEREMBAN: Dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan telekomunikasi di seluruh Negeri Sembilan, kerajaan negeri berhadapan dengan beberapa bantahan daripada penduduk yang enggan membenarkan menara pemancar dibina berhampiran kawasan perumahan mereka.
Kesal dengan keadaan tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, masyarakat harus faham keperluan kemudahan telekomunikasi amat penting ketika ini.
Katanya, jika kerajaan terus berhadapan dengan rungutan dan bantahan daripada penduduk berkenaan hal tersebut, ia akan menggangu dalam usaha memberikan liputan telekomunikasi terbaik kepada rakyat.
Menurutnya, sehingga kini kerajaan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima tiga bantahan daripada penduduk yang enggan menara pemancar itu dibina di kawasan perumahan mereka.
“Kesemua bantahan ini berlaku di kawasan bandar iaitu di taman-taman perumahan. Alasan mereka bahawa menara telekomunikasi ini terlalu dekat dengan rumah mereka sedangkan pembinaan menara berkenaan oleh pihak yang bertanggungjawab mendapat kelulusan PBT serta mengikut prosedur standard operasi (SOP) termasuk dibina dengan jarak melebihi 30 meter dari rumah penduduk.
“Saya harap pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan pembinaan menara pemancar ini dapat memikirkan bukan diri mereka sahaja diri tetapi masyarakat lain yang hari ini begitu memerlukan liputan telekomunikasi yang lebih baik. Jika bantahan begini terus berlaku, negeri ini akan terus tertinggal daripada segi liputan telekomunikasi, rakyat mahu rangkaian sehingga 5G tapi tak beri bina menara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, menurut beliau, lebih 70 menara pemancar dibina di kawasan luar bandar manakala di bandar ia akan terus dibina dari semasa ke semasa mengikut keperluan termasuk berhubung peningkatan bilangan penduduk.
Sementara itu, Menteri Besar berkata, ketika ini bilangan katil yang disediakan untuk menempatkan pesakit positif Covid-19 di tiga buah hospital di negeri ini telah menurun kepada 67 peratus berbanding kira-kira 74 peratus pada minggu lepas.
“Memang berlaku sedikit penurunan, namun saya harapkan orang ramai terus memberikan kerjasama dengan patuh mengikuti SOP yang ditetapkan. Apabila kurangnya bilangan individu yang dijangkiti, bilangan yang menerima rawatan di tiga buah hospital tersebut juga akan berkurangan sekali gus mengurangkan beban barisan hadapan kita khususnya petugas Kementerian Kesihatan.
“Saya dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan negeri, petugas-petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan kini bertugas bertungkus lumus kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, mereka terhimpit dengan beban kerja yang semakin bertambah. Menjadi tanggungjawab masyarakat untuk membantu barisan hadapan kita ini dengan mengikut SOP, mereka kini bekerja dalam keadaan terlalu letih,” katanya. – UTUSAN ONLINE