PETALING JAYA: Banjir di Pantai Timur tidak menunjukkan tanda untuk pulih apabila lebih 35,000 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan amaran cuaca buruk dikeluarkan sehingga Selasa ini.
Jabatan Meteorologi setakat pukul 1.10 tengah hari semalam meramalkan, hujan lebat berlaku di Dungun dan Kemaman di Terengganu manakala Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh serta Maran.
Sementara itu, hujan lebat juga diramal melanda Johor membabitkan daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
Angin kencang timur laut berkelajuan 50 hinga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka membadai perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan sehingga Selasa depan.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Di KELANTAN, seorang pemuda, Mohammad Hakimin Mohd. Rahim, 20, mati lemas akibat terjatuh ke dalam sungai ketika memindahkan mangsa banjir di Kampung Manjur, di sini semalam.
Negeri itu mencatatkan peningkatan jumlah mangsa kepada 5,250 orang dan ditempatkan di 72 PPS.
Polis Kelantan mengeluarkan 75 kompaun kepada individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana ‘berpesta air banjir’ ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.
Di PAHANG, bilangan mangsa di Temerloh naik mendadak kepada lebih 6,100 orang berbanding 3,800 orang lewat petang kelmarin.
Perkembangan tersebut meletakkan Temerloh kini sebagai daerah paling tinggi mencatatkan bilangan mangsa banjir di negeri itu, sekali gus mengatasi Maran yang merekodkan 4,212 mangsa.
Pertambahan sebanyak 60 peratus itu didorong limpahan air Sungai Pahang yang mengakibatkan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh turut digenangi bah.
Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, sembilan daerah terlibat banjir di Pahang secara keseluruhannya semalam mencatat lebih 22,900 mangsa.
Di TERENGGANU, 9,322 orang membabitkan 2,316 keluarga dipindahkan ke 46 PPS.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 6 petang semalam, mangsa banjir meningkat hampir separuh berbanding seramai 5,243 orang yang direkodkan pukul 8 pagi semalam.
Katanya, mangsa tertinggi kekal direkodkan di daerah Kemaman dengan sejumlah 7,781 orang yang membabitkan 1,875 keluarga.
Sementara itu, di PERAK, mangsa banjir berkurangan kepada 359 orang membabitkan 100 keluarga.
Jumlah itu berkurangan berbanding tempoh sama kelmarin yang merekodkan 423 orang daripada 120 keluarga.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, kesemua mangsa banjir masih ditempatkan di tiga PPS.
Katanya, mangsa banjir di Hilir Perak kini tinggal 343 orang di dua PPS iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (230) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langkap melibatkan 113 mangsa.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan mendadak bagi tempoh 24 jam kepada 2,292 mangsa setakat pukul 12 tengah hari tadi berbanding 3,560 mangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 569 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah.
Katanya, mangsa di Johor Bahru yang direkodkan setakat ini hanya seramai 72 mangsa daripada 24 mangsa di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang, manakala seramai 20 mangsa daripada lima keluarga di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng. – UTUSAN