KUANTAN: Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih apabila hanya tinggal dua daerah iaitu Kuantan dan Pekan terdapat mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Sehingga pukul 6 petang ini, terdapat 466 mangsa banjir membabitkan 118 keluarga di empat PPS.
Daripada jumlah itu, Kuantan mencatat jumlah mangsa teramai iaitu 337 orang membabitkan 79 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.
Seramai 252 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Rendang dan Dewan Melati Penjara Penor (85 mangsa).
Bagi daerah Pekan pula, seramai 129 mangsa membabitkan 39 keluarga di dua PPS.
PPS yang masih dibuka adalah SK Temai (70 mangsa, 24 keluarga) dan Dewan PKB Padang Rumbia yang menempatkan 59 mangsa dari 15 keluarga.
Kemua mangsa berkenaan, membabitkan lelaki dewasa (169 orang), perempuan dewasa (167 orang), kanak-kanak lelaki (61 orang), kanak-kanak perempuan (52 orang), bayi lelaki (tujuh orang) dan bayi perempuan seramai 10 orang.
Selain itu, warga emas lelaki (23 orang), warga emas perempuan (24 orang), orang kurang upaya (OKU) lelaki (10 orang) dan OKU perempuan (empat orang). – UTUSAN ONLINE